Dalam era globlaisasi ini, perhimpunan rasmi sekolah sering diambil remeh oleh para pelajar. Perhimpunan rasmi merupakan salah satu aktiviti yang lazimnya diadakan pada pagi setiap hari Isnin dengan menghimpun semua murid dan guru-guru di sesuatu tempat. Perhimpunan rasmi merupakan agenda pendidikan yang wajib diadakan di setiap sekolah supaya maklumat yang penting dapat disampaikan kepada murid-murid oleh pengetua sekolah atau guru-guru. Kawasan lapang di sekolah atau di dewan yang dibina oleh pihak sekolah digunakan untuk menjalankan perhimpunan rasmi. Banyak manfaat dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah dalam pelbagai aspek kehidupan, pembelajaran dan disiplin ilmu sewaktu perhimpunan. Perhimpunan rasmi mesti diadakan kerana dapat memupuk disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian, terjadi kerana pelajar harus mengikut peraturan yang ditetapkan semasa perhimpunan.Sebagai contoh, pelajar dididik supaya menghormati majlis yang diadakan dengan berada di tempat masing-masing mengikut barisan dan menjaga tingkah laku . Mereka haruslah menumpukan perhatian dan fokus sepenuhnya semasa perhimpunan berlangsung agar tidak terlepas maklumat yang ingin disampaikan. Pelajar yang tidak berdisiplin semasa perhimpunan juga akan didenda kerana mengganggu para pelajar yang lain. Mematuhi peraturan bukanlah sesuatu yang menyusahkan pelajar sebaliknya mendidik mereka untuk berdisiplin. Deduksinya, perhimpunan rasmi akan membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah mempunyai nilai disiplin dalam diri mereka. Selain itu, perhimpunan rasmi dapat membudayakan kemahiran mencatat dalam kalangan murid-murid. Kemahiran mencatat amat penting kerana boleh dijadikan sebagai bahan rujukan apabila menghadapi kekeliruan. Bukan itu sahaja, kemahiran mencatat akan berguna apabila para pelajar perlu membuat nota ringkas semasa guru mengajar. Manfaat ini bukan sahaja dapat digunakan semasa di alam persekolahan malah di menara gading juga. Bagi murid yang mempunyai kemahiran mencatat yang kurang perhimpunan rasmi dapat dijadikan sebagai platform untuk memantapkan kemahiran mencatat. Pelajar yang tidak peduli untuk melatih diri untuk mencatat terutamanya di perhimpunan akan menghadapi kesukaran apabila situasi yang mewajibkan catatan dibuat timbul. Intihannya, budaya kemahiran mencatat dapat diterapkan dalam diri murid-murid dengan mengadakan perhimpunan rasmi. Seterusnya, semangat patriotik yang semakin berkurang dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat ditanam dalam para pelajar dan guru-guru dengan adanya perhimpuan rasmi di sekolah. Nyanyian lagu Negaraku akan membakar semangat mereka untuk menjaga negara yang tercinta. Minggu kemerdekaan yang biasanya dirasmikan semasa perhimpunan rasmi juga akan menyebabkan para pelajar menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk negara. Semangat patriotik yang ditanam dalam kalangan pelajar ini akan melahirkan generasi yang cinta akan negara dan sanggup berkorban apa sahaja untuk negara. Sekiranya perhimpunan rasmi tidak diamalkan lagi, generasi yang bakal memimpin negara tidak akan mempunyai semangat patriotik. Bilangan masyarakat yang berhijrah ke luar negara juga akan bertambah. Natijahnya, menanam semangat patriotik antara manfaat perhimpunan rasmi. Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai manfaat yang dapat diperolehi oleh warga sekolah. Kementerian Pedidikan Malaysia harus memastikan perhimpunan rasmi diadakan secara berterusan dan cuba untuk memanjangkan tempoh masa perhimpunan diadakan di setiap sekolah. Pihak sekolah pula mesti memastikan perhimpunan rasmi dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah.
Perhimpunan rasmi tidak boleh diambil mudah kerana akan mengakibatkan kesan yang sukar ditangani pada masa hadapan jika tidak diamalkan. Wawasan 2020 dapat dijadikan kenyataan dengan perhimpunan rasmi sebagai tangga untuk mencapainya.