MUHAMMAD AZLEE BIN MOHD ALI Tajuk Cerita: KISAH NABI YUSUF DAN ZULAIKHA
(Nasyid) Assalamualaikum ………..hadirin semua…… Terima kasih kepada pengerusi acara. Para hakim yang arif lagi bijaksana….. Guru-guru dan rakan-rakan mari dengar cerita…..
(Syair) Kacak tampan wajah jejaka Menjadi idaman seorang wanita Fitnah durjana cipta sengketa Inilah kisah Yusuf dan Zulaikha
Rakan-rakan sekalian Nabi Yusuf a.s adalah anak ke tujuh Nabi Yaakub a.s
(Pantun) Baik hatinya tampan perkasa Dikasihi ayahanda dicemburui saudaranya Hasutan Syaitan mereka rencana Ke dalam perigilah Yusuf dicampaknya
Segerombolan pedagang yang lalu mencari air terjumpa Yusuf . Yusuf disorokkan bersama barang dagangan hingga sampai di Mesir. Sesampai di Mesir Yusuf dijual. Ahli-ahli tafsir sepakat mengatakan orang yang membeli Yusuf a.s adalah al-Aziz seorang pegawai tinggi atau wazir kerajaan Mesir dan isterinya adalah Zulaikha yang diharapkan menjadi ibu angkat kepada Yusuf a.s.
Zulaikha adalah seorang puteri raja sebuah kerajaan di barat(Maghrib) negeri Mesir . Beliau adalah seorang puteri yang cantik. Beliau bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dan Zulaikha pun jatuh hati padanya. Kemudian beliau bermimpi lagi tetapi tidak tahu namanya. Kali berikutnya beliau bermimpi lagi, lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Wazir Kerajaan Mesir.
Kecintaan dan kasih sayang Zulaikha kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu sehingga beliau menolak semua pinangan putera raja yang lain. Setelah bapanya mengetahui isi hati puterinya, dia pun mengahwinkan Zulaikha dengan Wazir.
Hati Zulaikha hampa dan amat terkejut, kerana bukan wajah tersebut yang beliau temui di dalam mimpinya. Bagaimana pun ada suara ghaib berbisik padanya : "Benar ini bukan pujaan hati kamu. Tetapi hasrat kamu kepada kekasih kamu yang sebenar akan tercapai melaluinya".
Demikian masa berlalu, sehingga suatu hari al-Aziz membawa pulang Yusuf a.s. yang dibeli di pasar. Sekali lagi Zulaikha terkejut besar, itulah Yusuf a.s. yang dikenali di dalam mimpinya.
Kawan-kawan, Pada suatu hari ketika suaminya tiada di rumah, Zulaikha telah menutup semua pintu rumahnya dan cuba menggoda Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf a.s. menolak dan cuba melarikan diri ke pintu.
Shrekkk! Terkoyak belakang baju baginda kerana ditarik Zulaikha….. Tibatiba….. (Sajak) Muncul sang suami Terkejut Zulaikha. Dikata Yusuf ingin memperkosa, Terlihat koyak di baju Tahulah pembesar angkara siapa.
Lalu Yusuf memohon kepada Allah s.w.t. supaya diberi perlindungan. Seperti dalam surah Yusuf ayat 33.
Wahai Tuhanku! Aku lebih suka penjara dari apa yang perempuanperempuan harapkan daripadaku.
Kawan-kawan, Serata Mesir tersebar cerita isteri pembesar menggoda hambanya.
Kisah Yusuf dan Zulaikha dirakam di dalam Al-Quran bermula surah Yusuf ayat 21, kerana fitnah konon-kononnya Yusuf a.s. menggoda isteri al-Aziz.
Kawan-kawan, (Boria) Bertahun-tahun Yusuf dipenjara, Akhirnya dipanggil mengadap Sang Raja, Disiasat semula segala punca, Akhirnya kebenaran terserlah jua. Ewah..
Yusuf telah beristerikan Zulaikha sesudah suaminya meninggal dunia. Yusuf dan Zulaikha hidup bahagia. Hasil perkahwinan Yusuf dan Zulaikha mendapat dua orang putera iaitu Ifraitsim dan Misya Bin Yusuf.
Ya kawan-kawan, Dari cerita di atas banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Di antaranya:
Pertama, kita hendaklah mempunyai peribadi yang mulia. Jangan mudah tergoda dan terikut dengan pelbagai kerenah dunia yang boleh membawa kita terjerumus kepada perkara yang tidak baik dan tidak putus-putus membuat dosa , Masya-Allah.
Ya kawan-kawan, Kini, terdapat Program Pencetus Ummah dan Da'i yang memaparkan personaliti soleh dan solehah yang boleh dicontohi.
Kedua, fitnah adalah perkara yang mesti kita jauhi kerana ia boleh menghuru-harakan keadaan.
Ketiga, Ya kawan-kawan, Kebenaran pasti akan terserlah.
Nampaknya masa mencemburui kita. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warah Matullah Hi Wabarakatuh.